Sunday, 13 September 2015

akulah pendosa


Hujan yang turun itu,
seakan akan tidak mahu reda,
angin bertiup seperti mahu bertarung dengan rintikan hujan,
pepohon hijau tegar bertahan penangan sang air.

aku berdiri,
menjengah jendela,
aku lihat dihujung jalan itu,
seorang penggagah sedang berteduh.

aku menoleh kesuatu sudut pandangan,
berlari ternakan mencari perlindungan dari kesejukan,
tanah yang gersang kini segar dibasahi,
rumput yang dulunya kekuningan kini semakin hijau.

aku menghulur tangan ditengah tengah rintikan hujan,
air itu aku lihat jatuh menerusi jari jemariku,
sejuk..dingin..hilang segala kehausan,
ku dongak kepala kelangit,.biru..aku lemas dalam keindahannya.

rindu aku rindu,
rindu akan kedamaian yang telah lama hilang,
ketenangan yang telah lama pergi tanpa aku sedari,
tanpa rela meninggalkan aku dalam kekacauan ini.

Tuhan,
aku tahu dibalik rasa ini,
engkaulah pemiliknya,
engkaulah penciptanya.

andai aku rebah,
aku tahu denganmu aku akan bangkit semula,
dengan kasihmu aku akan terus berdiri,
kerna engkaulah yang wujud disetiap titis darahku.

duhai pemilik jiwaku,
sedarkan aku,
bahawa aku sedang ditagih janji,
hidup bukan permainan,
bukan jua pentas sandiwara.

aku,
akulah pemegang watak si hamba,
namun kini,
lantang aku melakonkan watak si raja tanpa segan silu,
tidak aku menghiraukan arahan pemilik ceritera.

gegar dunia gegar,
gegar dengan keindahanmu,
menggoncang aku hingga layu,
rebah dalam pelukanmu.

wahai hati,
hentikan rontaanmu,
aku tahu apa inginmu,
aku tahu kau ingin kembali kepada penciptamu.

ya Allah,
akulah pendosa,
basuhlah noda ini dengan nyamannya keberkatanmu,
agar aku bisa tegar berdiri memegang janjiku,
menjadi hambamu kini dan selamanya.



miraLee-misznerd-slaveOfAllah

No comments:

Post a Comment